Sebahagian besar dari masa purbakala sehingga kurun ke19, kajian pakar-pakar astronomi terhad kepada pergerakan ketara objek-objek di langit. Oleh yang demikian, sebelum mendekati sejarah astronomi, elok sekiranya kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji semula konsep pergerakan jasad-jasad di Sistem Suria supaya dapat mendalami kemusykilan yang telah dihadapi oleh pakar-pakar astronomi satu masa dulu.
Dari semua arah pandangan, Sistem Suria kita dikuasai oleh satu bintang iaitu Matahari yang pada satu ketika dulu dianggap sebagai pusatnya. Bintang ini didampingi oleh perarakan lapan planet-planet: Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun. Dalam jangka-masa tersebut, cuma lima daripada planet-planet tersebut telah dikenal-pasti, iaitu Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal - pada masa tersebut Bumi tidak dikenali sebagai planet.
Revolusi dan putaran
Setiap planet bergerak mengelilingi Matahari dalam satu pergerakan yang dipanggil Revolusi. Dari segi Bumi, tempoh satu revolusi menentukan jangka-masa tahunannya. Dalam pergerakan mengelilingi Matahari planet-planet juga berputar atas paksinya sendiri. Tempoh satu putaran penuh menentukan jangka-masa hariannya. Bagi kita, pergerakan jasad-jasad selestial di langit adalah disebabkan oleh putaran Bumi atas paksinya. Putaran inilah, yang mengambil masa 24 jam, yang memberi tanggapan bahawa Matahari berputar mengelilingi Bumi diwaktu siang dan langit berbintang di waktu malam.
Putaran ketara langit berbintang dicerapi dari balai cerap Gemini Selatan. Imej-imej tindihan hasil cerapan dalam jangka-masa 4.5 jam menghasilkan satu kesan jelas putaran Bumi. Kredit: :
Gemini Observatory/AURA
Pergerakan ketara
Jika putaran Bumi dapat dibekukan, pergerakan revolusi Bumi sajalah yang dapat menimbulkan tanggapan pergerakan. Sesungguhnya, pergerakan planet-planet berbanding Matahari berubah sedikit sahaja berbanding bintang-bintang yang lain. Sebagai contoh, planet Marikh bergerak sedikit; berbanding bintang-bintang dibelakangnya ia kelihatan hanyut perlahan kearah timur. Sila perhatikan juga bahawa bintang-bintang kelihatan tetap disebabkan kedudukan mereka yang teramat jauh menjadikan pergerakan mereka tidak dapat dikesani. Pergerakan Utarid dan Zuhrah didapati lebih rumit akibat kedudukan mereka di dalam orbit Bumi. Kedua-duanya tidak mempunyai arah pergerakan tertentu, malah pergerakan mereka terhad dalam persekitaran Matahari dan didapati berayun secara perlahan mengelilinginya.
Pergerakan mundur
Situasi ini menjadi lebih kompleks disebabkan Bumi juga bergerak mengelilingi Matahari. Ini menghasilkan satu fenomena yang dipanggil pergerakan menentang kemajuan planet-planet. Untuk memahaminya, sila buat ujikaji ini. Naikkan jari dihadapan anda dan gerakkannya kekiri secara perlahan dan pusingkan kepala anda kearah yang sama dengan cepat. Kesannya, jari anda akan kelihatan bergerak kekanan.
Pergerakan mundur Marikh. Bahagian bawah animasi menunjukkan pergerakan Marikh dan Bumi dalam orbit masing-masing. Bahagian atas animasi pula menunjukkan kedudukan ketara Marikh di langit kita. Kredit :
NASA
Fenomena yang sama dapat menjelaskan pergerakan mundur planet Marikh. Selalunya planet tersebut bergerak kearah timur hasil pergerakan revolusinya. Tetapi, bila Bumi melintas di antara Marikh dan Matahari, pergerakan revolusi kita yang lebih cepat mencipta satu tanggapan bahawa planet merah Marikh bergerak kearah bertentangan iaitu kebarat. Pergerakan mundur ini merupakan satu tekateki yang membingungkan pakar-pakar astronomi dahulu kala.