Agak memeranjatkan, masalah asal-usul Bulan masih belum lagi diselesaikan. Tiga
pendapat berbeza telah lama dibahaskan. Senario pertama adalah pembentukan Bulan
melalui pemecahan. Dipermulaan pembentukannya, Bumi adalah berbentuk jisim cecair
yang berputar agak cepat. Disebabkan kuasa sentrifugalnya, Bumi telah mengusirkan
sebahagian dari jisimnya yang akhirnya berkumpul membentuk Bulan.
Senario kedua mencadangkan pembentukan Bumi dan Bulan secara serentak dan berpunca
dari jenis debu-debu yang sama. Senario yang ketiga mencadangkan bahawa Bulan telah
terbentuk di suatu kawasan lain di dalam Sistem Suria yang pada suatu ketika dulu
telah terperangkap dalam tarikan graviti Bumi.
Pasangan Bumi-Bulan dari pandangan kapal angkasa Galileo dalam tahun 1990 dari jarak
kejauhan 6 milion km. Kredit :
JPL/NASA
Analisis batuan Bulan menunjukkan bahawa komposisi kimianya didapati berbeza dari
komposisi kimia batuan Bumi, terutama sekali nisbah besinya. Oleh yang demikian,
Bulan tidak mungkin terbentuk daripada bahan yang dirampas dari Bumi dan dia juga
tidak mungkin terbentuk di kawasan persekitaran Bumi. Tambahan pula, senario pertama
memerlukan satu kelajuan putaran yang amat tinggi dan senario kedua pula tidak dapat
menjelaskan kenapa Bulan mempunyai teras yang teramat kecil berbanding Bumi.
Akhirnya, senario ketiga susah untuk diterima bila kita bayangkan betapa susahnya
untuk Bumi memerangkap satu objek sedemikian besar dan membawanya kedalam satu orbit
yang stabil. Tambahan pula, analisis keatas beberapa nuklei yang berlainan
menunjukkan satu kesamaan nisbah yang kuat di antara Bumi dan Bulan, menjadikan
senario ini susah untuk diterangkan bila dua jasad tersebut terbentuk secara
berlainan.
Ramai pakar saintis planet mencadangkan dalam tahun 1975 satu senario keempat yang
jauh lebih rumit untuk menerangkan asal-usul Bulan. Menurut mereka, awal dalam
sejarah pembentukan Sistem Suria, satu perlanggaran telah terjadi diantara Bumi dan
satu objek lain sebesar Marikh. Perlanggaran ini menghasilkan sebahagian daripada
bahan-bahan terpisah lalu berkumpul membentuk Bulan.
Senario terakhir ini dapat menerangkan persamaan dan juga perbezaan antara Bumi dan
Bulan. Semasa perlanggaran tersebut, kebanyakan unsur-unsur besi telah berkumpul
membentuk teras Bumi. Bahan-bahan yang terpisah dari lapisan mantel pula kurang
kandungan besi menerangkan kenapa Bulan mempunya satu nisbah besi yang rendah.
Nisbah beberapa nuklei-nuklei atom yang berlainan didapati serupa mencadangkan
bahawa kedua-dua jasad-jasad tersebut mempunyai asal-usul yang sama. Akhirnya, sifat
rambang perlanggaran inilah menyebabkan Bumi sebagai satu-satunya planet di Sistem
Suria yang mempunyai satelit sebegitu besar.