Utarid

Dalam pergerakan menjauhi Matahari dan menuju kearah keluar Sistem Suria planet yang pertama kita jumpa ialah planet Utarid yang terletak lebih-kurang 0.38 unit astronomi (AU) dari Matahari. Planet ini berputar dalam orbit yang agak membujur menyebabkan jarak tersebut berubah dari 0.31 hingga ke 0.47 AU.

Dari pandangan Bumi, kedudukan Utarid yang amat dekat dengan Matahari menyebabkan pergerakannya kelihatan terhad dan dekat dengan Matahari. Paling jauh sekali planet Utarid kelihatan berada 28 darjat dari Matahari. Oleh yang demikian, Utarid cuma nampak dalam masa yang amat pendek, samada sebelum Matahari terbit atau selepas Matahari terbenam. Garis-pusatnya yang kecil menimbulkan kesusahan untuk mencerap permukaannya dengan lebih teliti.

Utarid Utarid. Kredit : NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

Dalam tahun 1960′an kita dapat mengukur jangkamasa putaran Utarid dengan menggunakan radar. Dalam masa itu, pakar Astronomi menghantar isyarat radio ke Utarid dan meneliti isyarat pantulan balik. Kesan yang dipanggil Doppler Effect timbul akibat putaran Utarid membolehkan kita mengukur kelajuan putaran tersebut. Satu putaran Utarid atas paksinya dijangka mengambil masa 59 hari.

Masa ini merupakan lebih-kurang dua-pertiga jangkamasa putaran Utarid mengelilingi Matahari, dimana satu putaran orbit mengambil masa 88 hari di Bumi. Ini bukan terjadi secara kebetulan; ia terjadi akibat pengaruhan tarikan graviti Matahari keatas Utarid. Mekanisma tersebut juga berlaku keatas Bulan kita. Gabungan putaran yang lambat dan orbit kelilingan yang cepat boleh mengakibatkan keadaan yang mengejutkan kepada penghuni andaian Utarid. Satu putaran Utarid atas paksinya, dimana Matahari kelihatan kembali ke kedudukan asalnya, mengambil masa yang sama untuk melengkapi 2 putaran orbit nya mengelilingi Matahari. Dalam kata lain, satu hari di permukaan Utarid mengambil masa 2 tahun !

Utarid Utarid. Kredit : NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Carnegie Institution of Washington

Utarid yang bergaris-pusat 4900 km, merupakan planet yang kedua terkecil dalam Sistem Suria. Disebabkan kekurangan jisim dan tarikan graviti Utarid tidak dapat menahan udara. Walau bagaimana pun, kapal angkasa Mariner 10, dalam tiga kali penerbangan lintasnya berdekatan Utarid dari tahun 1974 ke tahun 1975, telah dapat melihat kesan gas Argon, Neon dan Helium. Ketiadaan udara menyebabkan perubahan suhu siang dan malam yang amat kuat. Mariner 10 mendapati bahawa suhu waktu siang mencapai ke tahap 470 darjat Celcius manakala pada waktu malam pula suhu tersebut turun ke tahap -180 darjat Celcius.

Dari penerbangan tersebut Mariner 10 juga telah dapat mengambil gambar 45 peratus permukaan Utarid. Dari gambar tersebut terdedah permukaan yang penuh dengan kawah-kawah yang menyerupai permukaan Bulan. Sebahagian daripada bentukan tersebut adalah bentukan asli. Satu bentukan yang curam sepanjang 500 km yang menyerupai garis persegi yang besar dijangka ujud sejak planet tersebut mula terbentuk. Mariner 10 juga telah mendedahkan keujudan satu kawah yang amat besar dan bergaris-pusat 1300 km. Kawah tersebut yang dinamakan Caloris dijangka terbentuk akibat perlanggaran planet Utarid dengan meteorit yang amat besar. Bencana tersebut menyebabkan berlakunya gegaran seismos yang mengakibatkan pembentukan gunung-gunung di sebalik planet Utarid, bertentangan dengan kawah tersebut.