Selepas Bumi, terdapat pula planet Marikh yang mempunyai jarak kejauhan secara purata 1.5 AU. Berbeza dari planet-planet lain, Marikh berputar di atas paksinya lebih-kurang dalam masa yang sama dengan Bumi. Oleh yang demikian, pertukaran siang dan malamnya agak serentak dengan Bumi. Paksi putarannya juga condong berbanding dengan dataran orbit pada sudut yang lebih kurang sama dengan Bumi. Ini menyebabkan musimnya lebih kurang serupa dengan Bumi, cuma mengambil masa yang lebih panjang sebab satu putarannya mengelilingi Matahari atau setahun di Marikh, mengambil masa lebih panjang dari setahun di Bumi.

Marikh
Imej mozek Marikh hasil gabungan dari 102 imej-imej yang diambil oleh kapal angkasa Viking. Imej ini berpusat kearah bahagian Valles Marineris, satu sistem yang terdiri daripada 3000 km canyon yang curam dengan kedalaman 8 km. Di sebelah kiri pula terdapat gunung berapi Tharsis Dome yang mempunyai tahap ketinggian 25 km. Kredit : NASA/GSFC

Dari permukaan Bumi, Marikh kelihatan agak merah dengan beberapa zon-zon gelap. Khutubnya pula kelihatan agak putih. Permukaan Marikh bertukar bergantung kepada musimnya. Pada musim panas zon khutub yang agak putih kelihatan kecil. Manakala pada musim sejuk pula, zon khutup yang putih kelihatan membesar sementara zon gelap pula mengecil. Zon gelap adalah kawasan batu-batuan yang diliputi debu-debu yang bertukar ketebalannya mengikut musim. Warna merah di permukaan Marikh adalah disebabkan oleh keujudan besi-oksida.

Penjelajahan Marikh menggunakan kapal angkasa telah bermula dalam tahun 1965 dengan penerbangan-lintas oleh Mariner 4. Dua kapal angkasa Mariner yang lain juga dibina dengan cara yang sama. Cuma Mariner 9 saja yang diletakkan di orbit mengelilingi Marikh untuk mengambil gambar permukaannya selama hampir satu tahun. Dalam tahun 1976, Dua kapal angkasa Viking menyelidiki Marikh selama beberapa tahun. Setiap satu nya terdiri daripada satu alat cerapan yang berputar mengelilingi Marikh untuk memetakan permukaan dan meyelidiki atmosfera dan satu lagi alat penduga yang diturunkan kepermukaan Marikh untuk mengkaji cuaca, ukuran seismos dan mengambil bahan contoh permukaan terutamanya untuk mengesan keujudan unsur-unsur hidup. Serentak dengan kejayaan cemerlang yang telah dicapai, Marikh juga menimbulkan beberapa kekecewaan yang besar dengan kegagalan kapal angkasa Mars Observer dalam tahun 1993 dan Beagle 2 dalam tahun 2003.

Atmosfera

Planet Marikh mempunyai garis-pusat 6800 km. Udaranya adalah amat nipis dengan tekanan udara kurang dari 1 peratus tekanan di Bumi. Lebih 95 peratus daripada atmosferanya adalah terdiri daripada karbon-dioksida. Selebihnya adalah terdiri daripada sedikit nitrogen, argon, oksigen dan gas yang lain-lain. Dalam atmosfera tersebut juga terdapat sedikit wap air yang cukup untuk membentuk awan berais dan kabus. Dari permukaan Marikh pula, langit kelihatan berwarna jingga. Ini mungkin akibat kehadiran debu-debu di atmosferanya.

Suhu di permukaan Marikh berubah dengan amat cepat, dari tahap minima -140 darjat Celcius diwaktu malam ke tahap maksima 0 darjat diwaktu siang pada musim sejuk dan 20 darjat diwaktu siang pada musim panas. Atmosfera Marikh kadang-kadang menimbulkan ribut dan taufan melibati keseluruhan Marikh dan berlanjutan selama beberapa bulan. Dalam masa ini, permukaan Marikh akan tertutup dari penglihatan disebabkan debu-debu yang terangkat dari permukaan akibat tiupan angin. Ribut dan taufan seperti ini telah terjadi dipermulaan misi Mariner 9. Pada masa itu, Mariner 9 tidak dapat mencerap permukaan Marikh selama beberapa minggu.

Permukaan

Hasil kajian dari beberapa kapal-kapal angkasa telah mendedahkan permukaan Marikh yang bukan saja menarik bah kan kaya dengan beberapa bentukan semulajadi yang menakjubkan seperti bekas-bekas gunung berapi, kawah-kawah, canyon dan dasar sungai yang telah kering. Bentukan ini tidak bertabur secara rata di permukaan planet ini, mereka terkumpul dan terhad kepada satu hemisfera tertentu.

Marikh
Gambaran panorama permukaan Marikh yang diambil semasa misi Pathfinder dalam tahun 1997. Kredit : NASA/GSFC

Hemisfera utara Marikh penuh dengan bentukan yang berasal dari aktiviti volkano. Terutama sekali, di sini terdapat dua kawasan dimana gunung-gunung berapi berkumpul; satu daripadanya ialah Tharsis Dome yang terdiri daripada 3 gunung-gunung berapi melebihi ketinggian 20 km, manakala satu lagi kawasan yang berada disebalik planet iaitu satu kawasan yang dipanggil Elysium Planitia. Berdekatan dengan Tharsis Dome terdapat gunung berapi yang terbesar di dalam Sistem Suria. Gunung ini yang dipanggil Mount Olympus mempunyai ketinggian 26 km dan tapak bergaris-pusat 600 km.

Serupa dengan gunung berapi di Hawaii, gunung berapi di Marikh juga mempunyai bahagian pinggiran yang lembut. Ini adalah disebabkan kehadiran punca panas di dalamnya yang mengeluarkan lava dari keraknya. Saiz gunung-gunung tersebut yang amat luar biasa mungkin disebabkan ketiadaan plet tektonik. Di Bumi, kehadiran plet tektonik menyebabkan pergerakan kerak dan interaksi dengan punca panas mengujudkan beberapa gunung berapi yang kecil. Di Marikh pula, kerak tersebut tidak bergerak dan kumpulan lava panas secara sedikit demi sedikit membentuk satu gunung berapi yang amat besar. Dari kajian keatas beberapa kawah-kawah di kawasan ini, Kubah Tharsis dijangka berumur agak muda, iaitu beberapa ratus juta tahun.

Hemisfera selatan pula berbeza. Ia dipenuhi dengan kawah-kawah hasil hentaman yang lama lebih-kurang beberapa ribu juta tahun. Berbeza dari kawah-kawah di Bulan yang mempunyai bentukan yang tidak berubah mengikut masa, kawah-kawah di Marikh pula sangat terpengaruh dengan hakisan udara. Kesan udara telah membulatkan bentuknya dan meliputi bahagian luarnya dengan lapisan debu yang tebal.

Satu daripada bentukan yang menakjubkan di permukaan Marikh terdapat berdekatan dengan khatulistiwanya. Ia mempunyai bentuk canyon yang amat besar. Sebagai penghormatan kepada kapal angkasa Mariner, bentukan besar ini telah dinamakan Valles Marineris. Ia memanjang melebihi 3000 km dengan kedalaman 8 km. Bentukan tersebut dikelilingi oleh sistem canyon yang agak sederhana besarnya. Pakar-pakar planet percaya bahawa bentukan tersebut adalah akibat runtuhan dataran-dataran yang besar.

Struktur terakhir yang jelas kelihatan di permukaan Marikh berada berdekatan dengan Valles Marineris. Ia terdiri daripada lurah-lurah kecil yang berliku-liku menyerupai sungai-sungai yang kering. Ini telah menimbulkan kepercayaan bahawa air mungkin telah halir di permukaan Marikh pada satu masa yang lepas.

Kita hentikan pemerhatian ringkas kita keatas permukaan Marikh dengan memberi perhatian keatas dua satelit-satelitnya. Satelit-satelit tersebut yang dipanggil Phobos dan Deimos mempunyai saiz lebih-kurang 10 km. Bentuk mereka kelihatan tidak teratur dan permukaan mereka penuh dengan kawah-kawah. Kedudukan mereka berdekatan dengan Asteroid Belt dan bentuk mereka yang sebegitu rupa menyebabkan pakar-pakar astronomi mengesyaki bahawa mereka sebenarnya adalah asteroid yang terperangkap dalam tarikan graviti Marikh.

Close Menu